Usim Healthcare Sdn Bhd

USIM Healthcare Taja RM15,000 Untuk 4 Pelajar USIM

EMPAT PELAJAR USIM TERPILIH TERIMA TAJAAN RAWATAN PERGIGIAN BERNILAI RM15,000 MENERUSI PROGRAM SENYUMAN HARAPAN USIM HEALTHCARE 2026

NILAI, 24 November 2026 – Seramai empat orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya dipilih sebagai penerima manfaat Program Senyuman Harapan USIM Healthcare 2026, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan membantu pelajar daripada golongan Asnaf dan B40 mendapatkan rawatan ortodontik (braces).

Menerusi program ini, USIM Healthcare Sdn. Bhd. (UHSB), sebuah syarikat di bawah Kumpulan USIM Holdings (USIMH), telah memperuntukkan tajaan keseluruhan bernilai RM15,000 bagi menampung kos rawatan pergigian untuk keempat-empat penerima terpilih.

Program Senyuman Harapan USIM Healthcare 2026 diwujudkan bagi membuka peluang kepada pelajar yang mempunyai keperluan rawatan ortodontik tetapi berhadapan kekangan kewangan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi akses kepada rawatan pergigian yang diperlukan, malah bertujuan meningkatkan keyakinan diri, kesejahteraan dan kualiti hidup para pelajar.

Pemilihan penerima telah dilaksanakan melalui proses saringan dan penilaian berdasarkan kelayakan status kewangan, keperluan klinikal serta komitmen terhadap rawatan yang akan dijalankan. Kerjasama strategik bersama Pusat Wakaf dan Zakat USIM, turut membantu memastikan bantuan ini disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Tajaan yang disalurkan melalui dana Tabung Tabarru’ UHSB ini merangkumi prosedur rawatan ortodontik dan keperluan berkaitan sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada perancangan serta penilaian klinikal pihak pergigian.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan UHSB dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan pergigian, di samping memperkukuh peranan syarikat dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada komuniti universiti.

Diharapkan sumbangan ini dapat memberikan sinar baharu kepada para penerima, bukan sekadar melalui perubahan senyuman, tetapi juga dalam membina keyakinan diri untuk terus melangkah maju dalam perjalanan akademik dan kehidupan mereka.

 

USIM Healthcare – Taking Care of Your Health and Soul.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top